PENYANYI dan pengacara Ifa Raziah kecewa apabila sebuah video pendek yang memaparkan kenyataannya tentang dijemput menunaikan umrah biarpun belum berhijab tular sehingga mencetuskan kemarahan ramai.
Menurut Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha, 47, video yang tersebar tersebut sudah disunting pihak tidak bertanggungjawab dan menimbulkan fitnah terhadap dirinya.
“Orang yang edit video itu salah. Apa yang dia muat naik tidak seperti yang saya katakan ketika membuat live di media sosial. Kalau orang tonton video penuh saya, mereka tahu apa yang saya maksudkan.
“Video yang dimuat naik oleh individu tersebut telah menimbulkan fitnah. Saya tidak akan maafkan dia,” ujarnya kepada mStar pada Rabu.
Terdahulu, kenyataan Ifa tentang sudah dijemput menunaikan umrah walaupun belum menutup aurat menerima pelbagai respons termasuk beberapa ustazah.
Dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu, Ustazah Asma’ Harun menegur kenyataan itu dan berkongsi hukum menutup aurat dan menunaikan umrah.
Menurut Ustazah Asma’ ramai yang salah faham mengenai keutamaan ini dan menyebabkan perkara wajib (menutup aurat) dilengah-lengahkan sementara yang sunat pula dikejar.
Tak perlulah saya nak cari siapa yang sebarkan video tersebut. Buang masa sahaja. Walau saya boleh ambil tindakan saman, tetapi lebih baik berdiam sahaja
IFA RAZIAH
PENYANYI
Sementara itu, Ifa menerima terguran tersebut dengan hati terbuka dan berharap perkara semua pihak tidak melaga-lagakan mereka dengan isu tersebut.
“Ustazah hanya bercakap secara umum dan langsung tidak menyebut nama saya. Saya tidak salahkan dia kerana dia bercakap untuk memberi ceramah.
“Janganlah melaga-lagakan saya dengan dia kerana isu tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ifa berkata, dia tidak berniat untuk mencari individu yang menyebarkan video tersebut kerana tidak mendatangkan sebarang faedah.
Dia juga yang sudah lali dikecam dan tidak pernah ambil pusing dengan setiap kata-kata negatif kerana percaya perbuatan jahat itu akan dibalas dengan kebaikan terhadap dirinya.
“Tak perlulah saya nak cari siapa yang sebarkan video tersebut. Buang masa sahaja. Walau saya boleh ambil tindakan saman, tetapi lebih baik berdiam sahaja.
“Selama saya berada dalam industri, pelbagai kontroversi tentang diri saya sebelum ini. Namun saya tidak pernah ambil pusing kerana saya tahu apa yang saya lakukan.
“Saya ini bukanlah ustazah. Hanya orang biasa yang sentiasa mahu memperbaiki diri menjadi seorang yang lebih baik.
“Saya juga percaya apabila orang bercakap buruk sebegini akan ada benda baik untuk saya. Mungkin show akan bertambah dan produk saya semakin laris,” jelasnya.
Isu tudung, umrah: Ustazah Asma’ tegur Ifa Raziah
PENDAKWAH bebas, Ustazah Asma’ Harun menegur kenyataan selebriti sensasi, Ifa Raziah berhubung isu tudung dan umrah yang dibangkitkan artis berkenaan, baru-baru ini.
Menurut Asma’, ramai yang salah faham mengenai hukum memakai tudung, di mana ia merupakan tuntutan wajib kepada seorang wanita.
“Harus faham, hukum menunaikan umrah ialah sunat muakad, iaitu sunat yang amat dituntut, namun hukum menutup aurat ialah wajib.
“Ramai salah faham tentang keutamaan ini menyebabkan perkara wajib dilengah-lengahkan tapi yang sunat atau harus pula dikejar sehingga terabai yang wajib.
“Ada juga sebahagian yang merasakan tidak mengapa jika tak menutup aurat, yang penting hati mereka baik. Jika kita ke kedai buah, mana yang kita akan pilih, buah yang luarnya baik atau yang sudah dipenuhi lebam dan busuk?
“Apabila pilih yang luarnya baik, ada kemungkinan isinya segar atau rosak, tetapi luar yang buruk sudah pasti isinya juga telah rosak,” katanya menerusi Facebook.
Walaupun tidak menamakan mana-mana individu dalam hantaran berkenaan, namun ia dipercayai ditujukan kepada Ifa Raziah susulan kenyataannya berhubung perkara itu baru-baru ini.
Dalam pada itu, Asma’ turut meluahkan kebimbangan terhadap tindakan Ifa yang dianggap boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat.
Justeru, beliau menasihati Ifa agar berhati-hati dengan ucapan serta apa yang diberi ketika ini khususnya kesenangan kerana bimbang ia musibah yang tersembunyi.
“Seandainya kita sentiasa diberikan nikmat yang melimpah-ruah tanpa henti walaupun hidup dalam keadaan fasiq iaitu berterusan melakukan maksiat yang nyata, berhati-hatilah dengan rezeki yang dikurniakan Maha Pemberi Rezeki kepada kita.
“Tanda istidraj ke atas seseorang itu adalah Allah membiarkan dia dalam kemaksiatan yang dilakukan dan tidak disegerakan azab ke atasnya,” katanya.
Tambahnya, Allah SWT berhak memberi apa sahaja kepada sesiapa yang Dia mahukan termasuk yang mensyirikkan-Nya dan bermaksiat kepada-Nya.
Namun katanya, perbezaan besar adalah sama ada apa yang diberi itu dengan kasih sayang atau murka-Nya.
“Alhamdulillah, peluang untuk menunaikan haji atau umrah itu memang direzekikan kepada mereka yang terpilih, namun kayu ukur yang lebih penting ialah apa perubahan yang berlaku pada diri kita selepas pulang daripada haji atau umrah?
“Adakah akhlak dan ibadah kita lebih baik, sama sahaja atau semakin buruk? Allahu Akbar,” katanya.
Beliau berkata, dengan teguran ini bukan bermaksud untuk mencari populariti tapi atas dasar tanggungjawab sesama Islam bagi membetulkan perkara yang salah.
“Jangan salah faham, orang yang menegur bukan buat kerja Tuhan, tapi sedaya upaya melaksanakan kerja yang Tuhan perintahkan sebagai seorang saudara se-Islam.
“Saya percaya ramai yang bimbangkan keadaan masyarakat dan generasi anak-anak kita yang mudah sekali dirosakkan minda dan akhlak mereka oleh segelintir selebriti, ‘influencer’, ‘founder’ produk dan sesiapa sahaja yang tidak bermoral di media sosial.
“Para pendakwah, orang awam termasuk saya yang menegur bukan nak tumpang populariti sesiapa atau nak kejar rating.
“Popular dan pengaruh bukanlah satu kebanggaan atau anugerah, sebaliknya hanya alat dan amanah untuk digunakan kepada jalan mengajak kebaikan atau mencegah kemungkaran. Kita akan dipertanggungjawabkan kelak,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, Ifa menemplak mana-mana individu yang menegurnya supaya menutup aurat.
Bagi Ifa, tiada guna kalau menutup aurat namun meninggalkan perkara wajib seperti solat. Apatah lagi kalau sekadar menutup aurat tetap tidak berzikir dan mulut sentiasa membuat fitnah.
Ifa turut menegaskan walaupun dirinya tidak menutup aurat Allah telah menjemputnya sebanyak tiga kali ke tanah suci Kota Mekah. – Malaysiapost
Sumber : mstar, malaysiapost.com.my