Ibu pelakon Puteri Balqis, Norashikin Mohd. Aziz tidak berniat mahu memanjangkan lagi kenyataan yang dibuat oleh anaknya tentang sikap buruk bekas suaminya ketika ditemubual oleh Bros Gang TV menerusi saluran Youtube semalam.
Norashikin yang dihubungi Astro Gempak mengulas mengenai pendedahan yang dibuat oleh anak tentang bapa yang difahamkan sudah lebih dua tahun tidak berjumpa dan berhubung.
“Maaf, Balqis sudah tidak mahu mengulas isu ini dan tidak mahu lagi bercakap mengenainya.
“Terus-terang saya tak sangka dia nak buka cerita itu kerana pada mula perbualan dia kelihatan gembira sahaja. Tak sangka ending itu dia buka semuanya.
“Saya rasa mungkin dia sudah tak tahan dan sudah tiba masa dia untuk buka cerita ini. Bapa dia sudah lebih dua tahun menghilangkan diri tanpa memberi nafkah,” katanya kepada Gempak.
Dalam perkongsian Balqis atau mesra dengan panggilan Aqish itu dia mendedahkan kisah disebalik terjadinya identiti ‘Aqish’ yang ketika ini dilihat sangat berlainan dengan dirinya sewaktu kecil dulu.
Bukan itu sahaja menerusi sesi podcast bersama dua pengacara itu, Aqish membuat satu pengakuan yang mengejutkan orang ramai mengenai sikap sebenar ayah kandungnya.
Aqish memaklumkan bahawa bukan sahaja bapanya itu merupakan seorang yang malas, bahkan dia juga tidak pernah menerima sebarang didikan agama daripada bapanya itu.
Menurut Norashikin dia sudah bersedia untuk menerima apa jua kesan atau padah daripada pendedahan yang dibuat oleh anaknya.
“Ya saya tahu…kroni dia (bapa Aqish) sangat ramai dan saya pula tak kenal orang berkedudukan sama seperti dia.
“Tapi ini bukan soal kalah atau menang. Saya tak kisah apa pun yang bakal kami terima nanti asalkan Aqish lega dapat meluahkan apa yang dipendam,” katanya lagi.
Baru-baru ini nama Puteri Balqis menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen sehingga ada yang menggelarkan pelakon KL Special Force itu dengan gelaran sundal hanya kerana dia menggayakan imej yang seksi di media sosial.
Sumber : GEMPAK