Umum

Jangan main gila: “Ini soal hidup rakyat, bukan lagi pelaburan” – Najib Razak

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak wajar melihat tuntutan rakyat supaya pengeluaran akaun 1 diperluaskan sebagai beban yang akan menjejaskan pelaburannya, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Ini soal hidup rakyat bukan lagi perihal pelaburan,”

“Saya tak setuju pandangan CEO KWSP (Tunku Alizakri Alias), kalau kita benarkan pengeluaran RM10,000 dari akaun 1 secara pukal, peluang pelaburan KWSP akan terjejas.

“Ini keadaan darurat, keadaan kritikal. Ini soal hidup rakyat bukan lagi perihal pelaburan,” katanya dalam program Sinar Live bertajuk “Apa Kisah Belanjawan 2021” malam ini.

Beliau yang juga bekas menteri kewangan berkata, tuntutan diperjuangkannya sejak awal sebelum pembentangan Belanjawan 2021 itu tidak akan menjejaskan kelangsungan operasi KWSP dan yakin Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memahami keperitan hidup rakyat ketika ini.

“Saya tak puas hati tapi saya nak beri masa lagi kepada kerajaan dan menteri kewangan untuk lihat perkara ini. Saya rasa menteri kewangan faham tuntutan rakyat tapi pengurusan KWSP ini agak masih mempertahankan kedudukannya.

“Ini tuntutan rakyat. Kalau saya menteri kewangan, saya bagi kata dua. Keluarkan arahan, kalau tak buat dia (Tunku Alizakri) kena berhenti (letak jawatan),” katanya.

Najib turut menegaskan, KWSP juga tidak wajar melihat tuntutan tersebut sebagai satu beban yang akan menjejaskan pelaburan KWSP kerana ia bukan soal utama.

Menurutnya, soal KWSP sudah tidak ada duit seperti mana yang dipersoalkan rakyat juga tidak sepatutnya wujud.

“Modal aset KWSP mencecah RM940 bilion di mana 50 peratus daripadanya dalam bentuk bon. Apa yang saya andaikan jika laksanakan cadangan ini mungkin hanya libatkan peruntukan sehingga RM40 bilion.

“Ini boleh dilakukan bukan bermaksud KWSP perlu jual saham tetapi bon misalnya, Bank Negara boleh beli bon KWSP. Boleh simpan, boleh jual balik atau boleh jual kepada pihak ketiga dan lain-lain.

“Jadi ada kaedahnya dan ini tidak menjejaskan kepentingan KWSP,” katanya.

Bank Negara boleh bantu KWSP

Katanya, dalam kes darurat seperti ini Bank Negara Malaysia boleh membantu KWSP dengan membeli bon milik KWSP, yang mana ia boleh disimpan atau dijual semula kepada pihak ke-3.

“Saya sarankan, bukanlah boleh mendatangkan kemudaratan kepada KWSP. Benda boleh dilakukan melalui ulasan saya sebelum ini. Ibarat orang lemas dia nak guna pelampung. Pelampung tu pula dia punya, bukan orang lain punya,” katanya.

Najib berkata, dengan membenarkan ahli membuat pengeluaran daripada akaun 1 akan berlaku suntikan kewangan dalam sistem ekonomi negara.

“Permintaan domestik akan bertambah dan ekonomi berputar lebih rancak. Ini bukan satu tuntutan populis tetapi soal kelangsungan rakyat,” katanya.

KWSP sebelum ini mengumumkan kemudahan akses simpanan persaraan akaun 1, i-Sinar yang memberi manfaat kepada 2 juta ahlinya yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau ketiadaan pendapatan.

Syarat ketat menyebabkan tindakan KWSP itu dikr1tik dan dit0lak beberapa pemimpin antaranya Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

SUMBER – kotakmedia