SUSULAN dakwaan membabitkan kes gangguan seksual, seorang pendakwah terkenal tiba di Bukit Aman pada Khamis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Sebuah kereta pacuan empat roda Hilux yang dipercayai membawa pendakwah berkenaan tiba di pintu masuk utama Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia itu sekitar pukul 8.59 pagi.
Difahamkan, seorang individu yang memakai kopiah dilihat turun daripada kereta tersebut bagaimanapun wajahnya tidak dapat dilihat dengan jelas.
Beberapa individu disyaki anggota polis berpakaian biasa dilihat cuba mengepung beliau seperti mahu mengelak pendakwah itu dirakam media atau orang awam.
Namun begitu, pengamal media dan jurukamera yang berkumpul di hadapan Bukit Aman tidak sempat merakam kemunculan individu itu dengan jelas ekoran dihalang anggota polis yang menutup ruang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika dihubungi sebentar tadi enggan mengulas lanjut berkenaan kehadiran individu tersebut.
“Sekejap lagi satu kenyataan akhbar akan dikeluarkan yang boleh sahkan kehadiran (pendakwah terkenal),” tegasnya.
Selesai Beri Keterangan
Pendakwah terkenal tersebut, Ebit Lew selesai memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual di Bukit Aman di sini sebentar tadi.
Beliau dilihat keluar dari pintu utama Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia itu pada pukul 2 petang.
Menurut beliau, rakaman percakapan itu mengambil masa satu jam.
“Saya dipanggil untuk membantu siasatan dan menjadi saksi bagi pertuduhan yang dilemparkan terhadap saya.
“Saya serahkan kepada polis untuk siasatan. Ini satu fitnah yang sangat kejam dan melampau,” ujarnya kepada pemberita di lokasi sebentar tadi.
Siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), JSJ Bukit Aman.
Semalam, sumber memberitahu bahawa pendakwah terkenal itu dipanggil Bukit Aman untuk diambil keterangan hari ini berkenaan dakwaan gangguan seksual. – K! ONLINE
TENGOK VIDEO KAT BAWAH NI