Baru-baru ini, penyanyi Mimi Fly mengakui sedang bercinta dengan seorang lelaki berkulit hitam yang bertugas sebagai doktor pakar tulang belakang di Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, pemilik nama Shamimi Amalina Norhisham itu kecewa apabila terdapat segelintir pihak menggelarkan kekasihnya sebagai ‘Negro’ disebabkan lelaki tersebut berasal dari Afrika.
Menurut laporan mStar Online, Mimi menganggap gelaran berkenaan seolah-olah tidak menghormati kaum African-American sekali gus boleh mengundang perbalahan.
“Buka matamu dan belajar memahami, sekarang sudah 2022. Perkataan Negro itu jika digunakan di Amerika Syarikat dianggap tidak menghormati.
“Perkataan itu dicipta oleh kaum kulit putih pada zaman African-American dijadikan hamba.
“Kalau digunakan sekarang ini hanya untuk cari gaduh dengan niat nak buat African-American rasa kerdil dan lemah,” katanya menerusi satu InstaStory hari ini.
Penyanyi berusia 36 tahun itu berkata, dia bersyukur ahli keluarga serta kenalan kekasihnya menerima kehadirannya di sana seperti keluarga sendiri dan berharap masyarakat juga bersikap sama seperti mereka.
“Saya juga berharap mereka disambut baik jika dapat datang ke Malaysia suatu hari nanti supaya mereka tahu kebaikan orang kita dan tidak dianggap biadab,” ujarnya.
Terdahulu, bekas anggota kumpulan One Nation Emcees itu kesal apabila sebuah portal tempatan meletakkan perkataan ‘Negro’ pada tajuk laporan berhubung kisah percintaannya.
Mimi Fly mengaku bercinta dengan lelaki kulit hitam
PETALING JAYA – Lima tahun menjanda, penyanyi Mimi Fly mengakui sedang menjalin hubungan romantis dengan seorang lelaki kulit hitam atau negro.
Mimi atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham mendedahkan, hubungan istimewa antara mereka sudah mula terjalin sejak dua tahun lalu dan kini sedang dalam fasa mengenali diri masing-masing dengan lebih mendalam.
“Kami mula berkenalan ketika bertemu di satu destinasi percutian dan sejak itu, kami semakin rapat walaupun hubungan terpaksa diteruskan secara jarak jauh (LDR) sebab dia sekarang menetap di Amerika Syarikat.
“Dia merupakan seorang doktor pakar tulang belakang dan sangat memahami diri dan berfikiran terbuka. Dia tak pernah takut dengan bagaimana saya membawa diri di depan khalayak.
“Insya-Allah, kalau ada jodoh, jadilah. Dipendekkan cerita, waktu pertama kali jumpanya, saya macam terus terpaut hati dan energi yang sama turut lahir darinya,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis tayangan perdana program raya Awesome TV 2022 di ibu negara, baru-baru ini.
Tidak mahu terlalu memperincikan tentang hubungan yang masih lagi baharu, pelantun lagu Superfly itu cuma berharap agar dipertemukan jodoh dengan lelaki yang dapat menerima dirinya seadanya dan secara peribadi, dia dapat melihat masa depan tersebut bersama lelaki terbabit.
“Barangkali dia adalah kegembiraan yang saya cari selama ini. Dan sebagai seorang wanita, saya rasa semua orang layak bertemu jodoh yang dapat membawa kita maju ke hadapan dan memperbaiki apa kekurangan diri.
“Kalau boleh, saya nak hubungan kami diteruskan ke peringkat seterusnya kerana dia sendiri banyak memberi dokongan dan sokongan kepada saya untuk jadi manusia yang lebih baik.
“Ada orang tanya tak takut ke berkawan dengan orang kulit hitam dan jawapan saya, tidak langsung sebab saya rasa lelaki Melayu senang rasa intimidated (tercabar atau takut) dengan keterbukaan gaya hidup saya berdasarkan beberapa perhubungan yang telah saya lalui sebelum ini,” ujarnya.
Tambah Mimi lagi, dia berharap agar orang ramai tidak membuat andaian bukan-bukan namun memohon agar urusan jodohnya kali ini berhasil dengan baiknya hingga ke alam perkahwinan.
Terdahulu, Mimi, 36, pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Firdaus Hajar pada 16 Mei 2015 namun pasangan tersebut bercerai pada November 2017.
Sumber: mStar Online , Instagram Mimifly, Kosmo
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini.
Pihak admin juga tidak mampu untuk memantausemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending pada pautan di bawah.